Ahad, 28 April 2024 |

INISIATIF: CELIK DIGITAL

 

Penilaian Celik Digital Penjawat Awam Tahun 2023 di peringkat Negeri Melaka telah mencapai 100 peratus melibatkan 4,302 orang penjawat awam Negeri Melaka. Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai inisiatif untuk rakyat Melaka memanfaatkan teknologi digital:

 

Pertama:

Kampung Digital buat julung-julung kali diperkenalkan di Malaysia oleh Kerajaan Negeri bertujuan untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk-penduduk kampung.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan tersusun. Antara faedah kepada penduduk kampung tradisional adalah dalam aspek pengurusan, penghantaran dan lain-lain perkhidmatan berkaitan alamat rumah. Kelebihan lain adalah dari segi pengumpulan data termasuk jumlah sebenar rumah di Negeri Melaka dan juga sempadan kampung sebenar. Setiap premis di kampung tersebut akan dilengkapi dengan QR-Code.

 

Projek perintis melibatkan 2 buah kampung daripada setiap daerah telah selesai dilaksanakan iaitu:

  • Kampung Pulau dan Kampung Seri Jeram bagi Daerah Alor Gajah.
  • Kampung Tanjung Minyak dan Kampung Paya Rumput bagi Daerah Melaka Tengah.
  • Kampung Lipat Kajang dan Kampung Tersusun Datuk Md Hidhir, Lipat Kajang bagi Daerah Jasin.

 

Kerajaan Negeri dalam proses mendaftarkan hak cipta Kampung Digital melalui MyIPO. Selain itu, perjumpaan bersama Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah telah diadakan untuk meneruskan pelaksanaan Kampung Digital pada tahun 2024. Kerajaan Negeri berharap agar pihak kementerian dapat menjadikan Kampung Digital sebagai satu model pelaksanaan alamat kampung bersistematik dan boleh diangkat sebagai contoh mendigitalkan kampung tradisional di seluruh Malaysia.

Kedua:

Kerajaan Negeri turut mencadangkan inisiatif baharu E-mel Khas Rakyat Melaka iaitu @melaka.my dalam usaha untuk mendigitalkan rakyat. Sebanyak 250 ribu akaun pengguna disediakan dalam fasa pertama bermula Jun 2024, akan dijadikan syarat wajib kepada pemimpin masyarakat, pelajar sekolah menengah sehingga mahasiswa di institusi pengajian tinggi, pendidik serta pekerja industri. Selaras dengan pelaksanaan Kampung Digital, setiap rumah juga akan diberi satu akaun e-mel.

Inisiatif ini penting untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar Kerajaan yang mudah diakses serta responsif terhadap keperluan dan kebajikan rakyat. Inisiatif ini akan bermula setelah semua kajian selesai dilaksanakan.

Ketiga:

Selain itu, peruntukan berjumlah 100 ribu ringgit juga disediakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk latihan di bawah Program Rakyat Digital

 

 

 

INISIATIF: PROGRAM KESIHATAN

 

Statistik terkini penjagaan kesihatan awam menunjukkan nisbah seorang doktor kepada 1,000 penduduk, berbanding kadar ideal iaitu 1 nisbah 400. Selaras dengan konsep Caring Society, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri akan memperkenalkan perkhidmatan Paramedik Komuniti Melaka di setiap 339 buah kampung di bawah naungan JPKK dan JPKKB dengan implikasi kewangan berjumlah 500 ribu ringgit.

 

Perkhidmatan Paramedik Komuniti ini merupakan bantuan kecemasan awal dan sokongan moral yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat Melaka yang ditimpa musibah. Pelaksanaan Kampung Digital yang telah dimaklumkan awal tadi akan membantu dalam memberi lokasi yang tepat bagi membolehkan sukarelawan paramedik dan ambulans sampai dengan cepat ke tempat kejadian. Pelaksanaan inisiatif ini termasuklah:

 

Pertama:

Paramedik Komuniti Melaka terdiri daripada 3 orang sukarelawan yang dipilih oleh setiap JPKK dan JPKKB dan elaun sukarelawan

Kedua:

Sukarelawan akan diberikan latihan oleh agensi yang diiktiraf seperti Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dibekalkan dengan peralatan perubatan yang bersesuaian.

Ketiga:

Klinik Desa sedia ada dijadikan sebagai Pusat Sumber Kesihatan Komuniti.

 

 

*Untuk maklumat lanjut inisiatif - inisiatif bajet 2024 Negeri Melaka, sila muat turun Dokumen Bajet 2024 Negeri Melaka: klik sini

Paparan Terbaik menggunakan Mozilla Firefox 3.5 ke atas, Google Chrome dan Safari dengan resolusi 1366 x 768


Hakcipta Terpelihara 2024@Kerajaan Negeri Melaka
Portal Melaka Versi 6.0, dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka

  • Tarikh Kemaskini: 24 April 2024 
Pelawat: 0009551788 | Statistik